Sunday, 11 January 2015

Kisah Manik Urai Baru


    Sedang crew kami menyusuri jalan bagi penghantaran bantuan ke Peria, kami berhenti seketika di bahu jalan kawasan Manik Urai Baru bagi menyerahkan kiriman barang sahabat  kami kepada saudara mereka yang juga mangsa musibah banjir pada kali ini. Barangan tersebut sepatutnya dihantar ke Pasir Mas tetapi keadaan air masih belum surut sepenuhnya yang memisahkan jalan darat dari Kuala Krai ke Pasir Mas. Maka barangan tersebut diturunkan kepada waris yang berada di Manik Urai Baru.

    Di tengah kelekaan melihat kawasan sekeliling sebelum sampai di check point Manik Urai Baru, saya dikejutkan dengan situasi yang amat memilukan. Belum pernah saya melihat situasi begini di hadapan mata sendiri selain dari dalam drama di TV. Di sebelah bahu jalan bertentangan, saya terlihat anak kecil dalam linkungan 6 atau 7 tahun sedang mengambil air. Tidak hairan jika di bandar budak sebesar ini mengambil air. Tetapi apa yang berlaku di depan mata kali ini ialah air yang diambil itu dari air yang mengalir di tepi bahu jalan.

    Dengan menggunakan tudung cerek, si kecil ini mencedok air lalu memasukkan ke dalam cerek yang dipegangnya. Tergamam seketika. Tanpa berfikir apa, saya capai sebotol mineral 10L dan berlari ke arah anak kecil itu. Tidak terfikir untuk melihat kiri kanan jalan sebelum melintas, apa yang terdetik pada ketika itu hanyalah "aku mesti tolong budak ni!!". Dia pun terkejut melihat aku berlari ke arahnya dan cuba melarikan diri. Tapi saya menahan dan menghulurkan botol mineral ke tangannya. Apa yang terpapar di muka si kecil ni cukup membuatkan saya lega bercampur hiba. Dia tersenyum sambil mengucapkan timo kasih abe :)
Kawasan air yang dicedok. Kelihatan beberapa kenderaan kami di seberang jalan.


    Apa yang bermain difikiran saya ketika itu? Mana ibu bapanya? Selamatkah air tu untuk diminum? Melintas jalan besar bagi seorang budak kecil, selamatkah? Sedangkan anak-anak kita di sini hidup mewah, manja, bersenang-lenang, terdapat anak-anak yang umurnya masih sangat muda telah bekerja seperti seorang remaja di sebelah sana. Ini adalah antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sepanjang misi bantuan di Jajahan Kuala Krai. Apabila pulang ke Shah Alam, melihat anak-anak sendiri dengan begitu tenang di rumah, begitu kenyang di kedai makan sehingga tidak dapat menghabiskan makanan, apakah nasib anak-anak di sana ketika ini?


    Hidup kita mungkin sempurna, mungkin separuh sempurna, mungkin tidak begitu sempurna. Namun ingatlah, pasti ada yang lebih serba kekurangan dari kita terutama yang hidup di bandar ini. Oleh itu, kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi. Buanglah sifat suka merungut dengan permasalahan, kerana jika diukur dari setiap sudut, tiada siapa yang sempurna.

~fliky~
[Jalan besar Manik Urai Baru][ 28 Disember 2014] [10:40 pagi]

No comments:

Post a Comment