Thursday, 29 January 2015
Program Pengantarabangsaan
Pada Isnin yang lepas, sekolah sekali lagi dikunjungi oleh murid-murid dari Songhwa Elementary School dari Korea Selatan. Program keluarga angkat ini telah berlangsung selama 3 hari di sini dan selebihnya mereka akan ke Kuching, Sarawak. Seramai 7 orang murid dari Korea Selatan terlibat bersama 3 orang guru mereka.
Majlis perasmian program telah berlangsung di dewan sekolah dengan dirasmikan oleh Puan Vanida Krishna, Ketua Unit dari BTP KPM Bukit Kiara. Turut hadir bersama ialah wakil dari JPN Selangor, PPD Petaling Perdana dan YDP PIBG SK Seksyen 13. Majlis diserikan dengan perarakan Caklempong Pacak dari SK Seksyen 9 dan tarian Tualang Muda dari SK Raja Muda. Persembahan selebihnya dari murid-murid Korea Selatan dan juga tuan rumah. Majlis pada hari tersebut berakhir dengan cara membuat Kimchi, makanan dari Korea di mana bahan-bahan tersebut di bawa dari negara mereka.
Penutupan program berlangsung pada hari Rabu dengan pertandingan pakaian tradisional. 9 sekolah sekitar telah menghantar wakil mereka dan diadili oleh 3 hakim yang cukup berpengalaman di dalam bidang mereka. Ketua hakim ialah seorang guru dari Sekolah Seni Shah Alam, dibantu oleh 2 orang lagi hakim yang terlibat di dalam bidang seni tanah air. SK Seksyen 13 berjaya merangkul tempat pertama dan kedua bersama lapan peserta yang lain. Tujuan pertandingan adalah bagi memberikan pendedahan kepada murid tentang pakaian tradisional di samping memberikan markah kepada sekolah masing-masing.
klik link untuk lihat gambar pada hari tersebut -->>Gambar kejadian
Labels:
coretan
Tuesday, 27 January 2015
Pemuafakatan Ibu Bapa Tahun 6
Pada Sabtu lepas, 21 Januari 2015 telah berlangsung Program Pemuafakatan Ibu Bapa bagi murid-murid tahun 6 di Dewan Bestari sekolah. Program ini dianjurkan bagi memberi pencerahan dan penerangan mengenai program-program yang akan dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2015 bagi meningkatkan lagi tahap penguasaan murid-murid tahun 6 di dalam pembelajaran mereka.
Boleh dikatakan hampir 97% ibu bapa dan murid yang hadir. Syabas kepada yang dapat menghadirkan diri bagi sama-sama membantu pencapaian anak-anak anda. Ia bukan sahaja sekadar mendengar penjelasan malah ia juga merupakan satu dorongan atau sokongan moral yang kadang-kadang kita terlepas pandang di dalam kesibukan kita bekerja.
Diharapkan lebih ramai ibu bapa atau penjaga menyertai atau menghadirkan diri di dalam program anjuran sekolah bagi menunjukkan komitmen kita terhadap anak-anak. Syabas dan selamat berjuang bagi calon UPSR 2015 ;)
*Jika bukan kita sendiri yang menyayangi mereka, siapa lagi yang dapat memberikan kasih sayang sama seperti ibu bapa kandungnya (petikan: Amad Tasli, 1977)
Saturday, 24 January 2015
Peristiwa 23 Januari 2015
Gambar perarakan sekitar Program Maulidur Rasul peringkat sekolah bagi tahun 2015. Kesemua murid berarak dari tapak perhimpunan hingga ke padang. Ceramah Ustaz Zack (Zakaria Mohd Yusuf) dari Gombak tentang maulidur rasul yang cukup mantap dan dapat mencuri perhatian murid dari awal hingga tamat ceramahnya.
Labels:
coretan
Thursday, 22 January 2015
رسول الله صلى الله عليه و سلم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Pada 23 Januari 2015 (Jumaat) akan diadakan sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah. Murid-murid akan berarak di dalam kawasan sekolah dengan beberapa sepanduk yang telah tersedia.
Upacara akan bermula pada jam 7.45 pagi sehingga jam 10.35 pagi (termasuk waktu rehat). Selepas waktu itu, murid-murid akan kembali belajar mengikut jadual waktu mereka. (Harap ibu bapa penjaga dapat menyemak buku anak-anak mengikut jadual bagi mengelakkan bebanan buku)
Pakaian:
Lelaki : Berbaju melayu lengkap beserta kasut sekolah.
Perempuan : Berbaju kurung beserta kasut sekolah.
*Diingatkan supaya anak-anak tidak membawa sebarang telefon bimbit dan alatan elektronik bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin timbul.
Labels:
info
Tuesday, 13 January 2015
Wang Bantuan Khas 2015
Maaf di atas kelewatan pemberitahuan. Pihak kami sibuk menguruskan murid-murid di hari pertama. Namun surat edaran telah dikeluarkan semalam, Isnin [12 Januari 2015]. Di harap ibu bapa/penjaga telah menerima surat tersebut dari anak masing-masing.
Kami lampirkan bersama surat siaran yang telah diedarkan kepada murid-murid. Wang bantuan ini hanya layak kepada murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6 sahaja. Murid pra-sekolah tidak terlibat :(
Harap maklum.
Labels:
info
Sunday, 11 January 2015
Kisah Manik Urai Baru
Sedang crew kami menyusuri jalan bagi penghantaran bantuan ke Peria, kami berhenti seketika di bahu jalan kawasan Manik Urai Baru bagi menyerahkan kiriman barang sahabat kami kepada saudara mereka yang juga mangsa musibah banjir pada kali ini. Barangan tersebut sepatutnya dihantar ke Pasir Mas tetapi keadaan air masih belum surut sepenuhnya yang memisahkan jalan darat dari Kuala Krai ke Pasir Mas. Maka barangan tersebut diturunkan kepada waris yang berada di Manik Urai Baru.
Di tengah kelekaan melihat kawasan sekeliling sebelum sampai di check point Manik Urai Baru, saya dikejutkan dengan situasi yang amat memilukan. Belum pernah saya melihat situasi begini di hadapan mata sendiri selain dari dalam drama di TV. Di sebelah bahu jalan bertentangan, saya terlihat anak kecil dalam linkungan 6 atau 7 tahun sedang mengambil air. Tidak hairan jika di bandar budak sebesar ini mengambil air. Tetapi apa yang berlaku di depan mata kali ini ialah air yang diambil itu dari air yang mengalir di tepi bahu jalan.
Dengan menggunakan tudung cerek, si kecil ini mencedok air lalu memasukkan ke dalam cerek yang dipegangnya. Tergamam seketika. Tanpa berfikir apa, saya capai sebotol mineral 10L dan berlari ke arah anak kecil itu. Tidak terfikir untuk melihat kiri kanan jalan sebelum melintas, apa yang terdetik pada ketika itu hanyalah "aku mesti tolong budak ni!!". Dia pun terkejut melihat aku berlari ke arahnya dan cuba melarikan diri. Tapi saya menahan dan menghulurkan botol mineral ke tangannya. Apa yang terpapar di muka si kecil ni cukup membuatkan saya lega bercampur hiba. Dia tersenyum sambil mengucapkan timo kasih abe :)
Kawasan air yang dicedok. Kelihatan beberapa kenderaan kami di seberang jalan. |
Apa yang bermain difikiran saya ketika itu? Mana ibu bapanya? Selamatkah air tu untuk diminum? Melintas jalan besar bagi seorang budak kecil, selamatkah? Sedangkan anak-anak kita di sini hidup mewah, manja, bersenang-lenang, terdapat anak-anak yang umurnya masih sangat muda telah bekerja seperti seorang remaja di sebelah sana. Ini adalah antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan sepanjang misi bantuan di Jajahan Kuala Krai. Apabila pulang ke Shah Alam, melihat anak-anak sendiri dengan begitu tenang di rumah, begitu kenyang di kedai makan sehingga tidak dapat menghabiskan makanan, apakah nasib anak-anak di sana ketika ini?
Hidup kita mungkin sempurna, mungkin separuh sempurna, mungkin tidak begitu sempurna. Namun ingatlah, pasti ada yang lebih serba kekurangan dari kita terutama yang hidup di bandar ini. Oleh itu, kita harus sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberi. Buanglah sifat suka merungut dengan permasalahan, kerana jika diukur dari setiap sudut, tiada siapa yang sempurna.
~fliky~
[Jalan besar Manik Urai Baru][ 28 Disember 2014] [10:40 pagi]
Labels:
coretan
Subscribe to:
Posts (Atom)