Thursday, 26 March 2015

BENGKEL Permata Hati Tahun 6

Pihak sekolah di bawah kelolaan pengurusan Tahun 6 akan menganjurkan Bengkel Permata Hatiku di Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam pada 27 - 29 Mac 2015 (Jumaat - Ahad). Murid yang terlibat seramai 40 orang bagi fasa 1. Murid yang selebihnya akan di bawa pada program fasa 2.

Setiap murid tahun 6 akan mengikuti bengkel ini sekali sahaja mengikut fasa yang mereka terpilih. Pembahagian murid ini (mengikut fasa) berdasarkan keputusan ujian yang telah mereka ambil pada sebelum ini. Ini bagi membolehkan guru-guru memberi tumpuan penuh kepada peserta yang terlibat.

Bas akan bertolak selepas solat Jumaat dan dijangka tiba di IPN selewat-lewatnya jam 5 petang. Ibu bapa / penjaga boleh merujuk kepada jadual di bawah untuk rujukan. Diharapkan perjalanan program berjalan dengan jayanya bagi peningkatan prestasi anak-anak kita.

Ralat pada jadual:

Bas akan bertolak pada jam 3 petang dan bukan seperti di dalam jadual, 3.30 petang.

Wednesday, 25 March 2015

KLINIK Bolasepak


Satu klinik latihan bolasepak di bawah kelolaan Akademi Tunas Lagenda akan diadakan di padang sekolah pada hari Sabtu ini, 28 Mac 2015 dari jam 8 - 11 pagi. Pendaftaran dibuka dari kanak-kanak yang berumur 5 tahun - 16 tahun. Dan yang pastinya klinik latihan pada hari tersebut adalah PERCUMA  ;) 

Bagi ibu bapa yang berminat bolehlah datang pada hari tersebut atau jika mempunyai sebarang pertanyaan bolehlah berhubung terus dengan coach Choe di nombor yang tertera di dalam banner di bawah. Akademi ini bernaung di bawah Kelab Bolasepak Tunas Lagenda yang diterajui oleh bekas pemain negara pada suatu masa ketika dahulu, Tuan Hj Bakri Ibni, yang juga komuniti di Seksyen 13. Untuk maklumat lanjut, sudi kiranya untuk melayari laman berikut:

bolasepaktunaslagenda.com  atau
https://www.facebook.com/bolasepaktunaslagenda


Tuesday, 17 March 2015

Dia telah selamat pulang....



Adik Nur Sarah Alia Afizi telah pulang ke rahmatullah pada pagi tadi lebih kurang jam 2.45 pagi. Bersama kita sedekahkan al-fatihah kepada ahli syurga ini. Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kami juga mendoakan agar keluarga arwah tabah menghadapi dugaan dari Allah.

Bagi yang tinggal berdekatan, bolehlah jika berkelapangan untuk ziarah dan solat jenazah di Masjid at-Taqwa Subang Permai.



Projek PIBG/Mac2015



Setinggi-tinggi terima kasih diucapkan kepada PIBG dengan kerjasama ibu bapa dan guru bagi usahasama membaik pulih beberapa kerosakan kecil di sekolah. Projek pertama PIBG pada tahun ini berjalan dengan lancar. Walau sebilangan kecil yang terlibat kerana hanya sedikit sahaja kawasan yang perlu diperbaiki namun ia memberikan pandangan dan keadaan yang nampak berbeza. Projek diadakan pada hari Ahad lepas [15 Mac 2015] dari jam 7.30 pagi sehingga lebih kurang jam 12.50 tengah hari.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah membaik pulih lampu dan mangkuk tandas, memperkemas banner dan kabel eletrik mesin air COWAY, menyusun atur barangan di dalam surau, mengecat tiang-tiang gol, membuat garisan padang dan yang pasti POTLUCK ;)

Diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi kemudahan anak-anak kita dan secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara komuniti. Syabas dan terima kasih kepada yang terlibat. Bagi yang terlepas, jangan risau. Projek yang seterusnya jangan lupa untuk hadir bersama-sama kami semua.

kredit foto: En. Zulrushdi

Monday, 16 March 2015

Doa untuk Nur Sarah Alia

kredit foto: utusan.com.my
Adik Nur Sarah Alia bt Afizi dari kelas 5 Libra kini berada di wad ICU kerana penyakit leukemia yang dihadapinya selama ini. Jika tidak silap, dari tahun 2013 dia telah menghidap kanser darah (leukemia) ini. Bersamalah kita mendoakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan terhadap ahli syurga ini.



Sedikit info mengenai penyakit leukemia:

Apa itu leukemia?

Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam tulang sum-sum. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi.

Bagi pesakit leukemia, proses pengeluaran sel darah putih terganggu. Sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dikenali sebagai neoplasma hematologi atau Hematological Neoplasm.


Tanda dan gejala

1. Lemah dan letih
2. Lesu
3. Kurang selera makan dan kurang berat badan
4. Bengkak dan gusi berdarah
5. Sakit kepala
6. Abdomen bengkak disebabkan oleh pembesaran hati dan limfa
7. Sakit tulang, boleh menyebabkan kelemahan
8. Sakit sendi
9. Kelenjar membengkak

Jenis leukemia

Leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan). Pada kanak-kanak, lebih kurang 95 peratus adalah leukemia akut.

Leukemia lymphocytic akut yang juga dikenali sebagai ALL paling biasa pada kanak-kanak

Leukemia Myelogenous akut atau AML lebih banyak terjadi dalam kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak

Leukemia Limfosit kronik atau CLL sering menimpa orang dewasa yang berumur lebih 55 tahun. Ada kala ia berlaku pada orang dewasa yang lebih muda, tetapi ia jarang membabitkan kanak-kanak

Leukemia myelogenous kronik atau CML biasanya berlaku pada orang dewasa saja. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini

Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa yang berlaku pada kanak-kanak dan penyebab utama kematian mereka. Satu pertiga daripada kanak-kanak yang mengalami barah adalah daripada jenis leukemia

Diagnosis leukemia

Pemeriksaan fizikal dan latar belakang yang menyeluruh. Doktor akan memeriksa kanak-kanak untuk menilai tahap kesihatannya dan mengesan tanda penyakit seperti pucat, pendarahan, bengkak hati, limfa dan nodus limfa.

Sejarah penyakit dan rawatan lalu juga diambil kira. Jika disyaki leukemia, doktor akan menjalankan ujian complete blood count (CBC) bagi mengira jumlah sel darah putih, hemoglobin, hematokrit, dan jumlah platelet daripada sampel darah.

Jika keputusan darah menunjukkan leukemia, pengambilan sampel tulang sum-sum dan biopsi akan dilakukan bagi mengesahkan penyakit dan jenis leukemia.

Ini dilakukan dengan cara menyuntik jarum ke dalam tulang punggung leper untuk mendapatkan sampel darah tulang sum-sum dan cebisan tulang. Pakar hematologi akan menguji sampel darah berkenaan untuk melihat kehadiran sel leukemia.

Ujian tambahan kemudian dijalankan ke atas sampel ini untuk menentukan jenis dan subjenis leukemia. Analisis Citogenetik juga dilakukan untuk mengesan kromosom yang tidak normal dalam sel leukemia. Ujian ini akan membantu doktor dalam merancang rawatan untuk pesakit.


Rawatan leukemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat

Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya untuk membunuh sel leukemia dalam darah dan tulang sum-sum.

Terapi konsolidasi atau pengukuhan pula adalah fasa kedua dalam rawatan. Bermula apabila leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini untuk membunuh sel leukemia yang tertinggal dan mencegah daripada menjadi alah kepada rawatan.

Terapi berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar. Kemoterapi diberi secara lisan dan dalam dos lebih rendah daripada digunakan untuk induksi dan konsolidasi.

Rawatan biasanya diberi untuk tempoh dua hingga tiga tahun. Oleh kerana kanak-kanak lelaki secara umumnya menunjukkan tindak balas lebih rendah berbanding perempuan, rawatan untuk kanak-kanak lelaki lebih lama. Kanak-kanak yang menghidap ALL mempunyai peluang baik untuk sembuh. Kebanyakan pusat rawatan kini melaporkan kadar 90 peratus peluang sembuh untuk pesakit yang mempunyai risiko.

Kesan sampingan akibat daripada rawatan boleh berlaku sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Terapi radiasi ke atas kepala misalnya, boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan boleh menyebabkan barah lain berlaku. Oleh itu, pemeriksaan berkala sangat penting.

sumber utama: myhealth.gov.my

Wednesday, 4 March 2015

Ujian PERMATA PINTAR NEGARA


Ujian PERMATA pintar dibuka bagi sesi 2015. Semua murid digalakkan untuk mengambil ujian tersebut yang dilakukan secara atas talian (online). Melalui kemudahan ini, murid-murid dapat melakukannya di rumah dengan keadaan yang lebih selesa dan tiada kekangan masa.

Ujian dalam talian ini adalah percuma dan boleh diambil terus tanpa halangan birokrasi di sekolah, rumah dan lain-lain tempat yang mempunyai kemudahan Internet dengan membuka alamat http://ukm1.permatapintar.edu.my/default.01.aspx. Pelajar hanya perlu tahu perkara-perkara asas penggunaan komputer seperti menggunakan tetikus dan papan kekunci. Sekiranya pelajar berhenti atau talian terputus, maka pelajar boleh menyambung semula ujian di waktu yang lain sehingga tamat. Pelajar telah menamatkan ujian boleh mendapatkan Sijil Penyertaan Ujian Pencarian Bakat UKM1 Peringkat Kebangsaan Tahun 2015. Sila masukkan nombor mykad/mykid anda di laman web http://ukm1.permatapintar.edu.my/default.01.aspx . Sila pastikan kod sekolah adalah betul sebelum dicetak. Pelajar juga boleh mengemaskini maklumat dan mencetak semula sijil penyertaan jika terdapat kesilapan di alamat http://pelajar.permatapintar.edu.my


Bagi yang berminat, anda boleh klik pada link di bawah gambar untuk terus ke web PERMATA pintar bagi tujuan pendaftaran dan memulakan ujian. Ujian boleh dilakukan secara senggang
(buat-rehat-buat). Tarikh akhir ialah pada 31 Mei 2015. Selamat berjaya!!

web pendaftaran PERMATA PINTAR NEGARA


Tuesday, 3 March 2015

Kem Bestari Solat 1/2015



Makluman Kem Bestari Solat


Tarikh:   7 Mac 2015 (Sabtu)
Masa :   7.30 pagi - 1.00 tengahari
Penglibatan:   Semua murid SK Seksyen 13
Pakaian:   baju melayu, songkok, selipar (lelaki)
               baju kurung, bertudung,selipar (perempuan)

Bagi murid yang masih belum mempunyai buku Kem Bestari Solat boleh mendapatkannya di kedai buku sekolah dengan harga RM 5.90.