|
kredit foto: utusan.com.my
|
Adik Nur Sarah Alia bt Afizi dari kelas 5 Libra kini berada di wad ICU kerana penyakit leukemia yang dihadapinya selama ini. Jika tidak silap, dari tahun 2013 dia telah menghidap kanser darah (leukemia) ini. Bersamalah kita mendoakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan terhadap ahli syurga ini.
Sedikit info mengenai penyakit leukemia:
Apa itu leukemia?
Leukemia adalah barah sel darah putih dan ia boleh dikategorikan sebagai lebihan sel darah putih di dalam tulang sum-sum. Sel darah putih dihasilkan secara semula jadi.
Bagi pesakit leukemia, proses pengeluaran sel darah putih terganggu. Sel tidak matang dan terus membahagi dan membiak. Ia sebahagian daripada kumpulan penyakit yang dikenali sebagai neoplasma hematologi atau Hematological Neoplasm.
Tanda dan gejala
1. Lemah dan letih
2. Lesu
3. Kurang selera makan dan kurang berat badan
4. Bengkak dan gusi berdarah
5. Sakit kepala
6. Abdomen bengkak disebabkan oleh pembesaran hati dan limfa
7. Sakit tulang, boleh menyebabkan kelemahan
8. Sakit sendi
9. Kelenjar membengkak
Jenis leukemia
Leukemia boleh jadi akut (merebak dengan cepat) atau kronik (merebak perlahan). Pada kanak-kanak, lebih kurang 95 peratus adalah leukemia akut.
Leukemia lymphocytic akut yang juga dikenali sebagai
ALL paling biasa pada kanak-kanak
Leukemia Myelogenous akut atau
AML lebih banyak terjadi dalam kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak
Leukemia Limfosit kronik atau
CLL sering menimpa orang dewasa yang berumur lebih 55 tahun. Ada kala ia berlaku pada orang dewasa yang lebih muda, tetapi ia jarang membabitkan kanak-kanak
Leukemia myelogenous kronik atau
CML biasanya berlaku pada orang dewasa saja. Hanya segelintir kanak-kanak dikesan mengalami penyakit ini
Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa yang berlaku pada kanak-kanak dan penyebab utama kematian mereka. Satu pertiga daripada kanak-kanak yang mengalami barah adalah daripada jenis leukemia
Diagnosis leukemia
Pemeriksaan fizikal dan latar belakang yang menyeluruh. Doktor akan memeriksa kanak-kanak untuk menilai tahap kesihatannya dan mengesan tanda penyakit seperti pucat, pendarahan, bengkak hati, limfa dan nodus limfa.
Sejarah penyakit dan rawatan lalu juga diambil kira. Jika disyaki leukemia, doktor akan menjalankan ujian complete blood count (CBC) bagi mengira jumlah sel darah putih, hemoglobin, hematokrit, dan jumlah platelet daripada sampel darah.
Jika keputusan darah menunjukkan leukemia, pengambilan sampel tulang sum-sum dan biopsi akan dilakukan bagi mengesahkan penyakit dan jenis leukemia.
Ini dilakukan dengan cara menyuntik jarum ke dalam tulang punggung leper untuk mendapatkan sampel darah tulang sum-sum dan cebisan tulang. Pakar hematologi akan menguji sampel darah berkenaan untuk melihat kehadiran sel leukemia.
Ujian tambahan kemudian dijalankan ke atas sampel ini untuk menentukan jenis dan subjenis leukemia. Analisis Citogenetik juga dilakukan untuk mengesan kromosom yang tidak normal dalam sel leukemia. Ujian ini akan membantu doktor dalam merancang rawatan untuk pesakit.
Rawatan leukemia kanak-kanak dilakukan secara berperingkat-peringkat
Terapi Induksi: Ini adalah fasa pertama rawatan. Tujuannya untuk membunuh sel leukemia dalam darah dan tulang sum-sum.
Terapi konsolidasi atau pengukuhan pula adalah fasa kedua dalam rawatan. Bermula apabila leukemia berada dalam keadaan remision. Tujuan terapi ini untuk membunuh sel leukemia yang tertinggal dan mencegah daripada menjadi alah kepada rawatan.
Terapi berterusan (maintenance therapy): Ini adalah fasa ketiga rawatan. Ia dilakukan sebagai pesakit luar. Kemoterapi diberi secara lisan dan dalam dos lebih rendah daripada digunakan untuk induksi dan konsolidasi.
Rawatan biasanya diberi untuk tempoh dua hingga tiga tahun. Oleh kerana kanak-kanak lelaki secara umumnya menunjukkan tindak balas lebih rendah berbanding perempuan, rawatan untuk kanak-kanak lelaki lebih lama. Kanak-kanak yang menghidap ALL mempunyai peluang baik untuk sembuh. Kebanyakan pusat rawatan kini melaporkan kadar 90 peratus peluang sembuh untuk pesakit yang mempunyai risiko.
Kesan sampingan akibat daripada rawatan boleh berlaku sama ada pada jangka masa pendek atau panjang. Terapi radiasi ke atas kepala misalnya, boleh memberi kesan kepada perkembangan otak kanak-kanak dan boleh menyebabkan barah lain berlaku. Oleh itu, pemeriksaan berkala sangat penting.
sumber utama: myhealth.gov.my